Pengalaman Dakwah di Sabah : Episod 1

السلام عليكم
Peace be upon you.
بسم الله الرحمن الرحيم
In the name of Allah ( God ), Most Gracious, Most Compassionate
الحمد لله ربّ العلمين
Praise be to Allah, the Cherisher and Sustainer of the worlds
الصلاة والسلام على رسول الله وعلى أصحابه أجمعين

Percutian di Sabah Tahun 2011

     Pada semester pendek yang lepas, saya sempat bercuti di Sabah Negeri di Bawah Bayu kerana saya tidak mengikuti pembelajaran pada semester tersebut. Pada kedatangan pertama kali itu, perasaan gembira tidak dapat dinafikan kerana Sabah ialah negeri yang sangat cantik dan masih dipenuhi hutan-hutan yang segar serta laut dan sungai yang masih bersih.

     Namun setelah berjalan-jalan di banyak tempat di sana, perasaan bertukar-tukar. Gembira, sedih, takut, bersalah dan bermacam-macam lagi. Rasa sedih dan bersalah kerana umat Islam di sini masih lemah dari segi bilangan dan pengamalan Islam dan dalam masa yang sama diri sendiri juga masih kurang ketaatan kepada Allah dan tidak mampu berbuat apa-apa terhadap keadaan tersebut. Perasaan takut pula timbul apabila melalui perjalanan yang dihiasi gereja yang sangat banyak. Boleh dikatakan hampir setiap setengah jam, satu gereja kelihatan. Di sesetengah tempat, ada terdapat dua gereja berhampiran satu dengan yang lain.

     Melihat gereja-gereja yang banyak, terlintas di fikiran seorang kawan perempuan beragama Kristian daripada Sabah yang pernah bekerja sekali suatu masa dahulu di Kopitian Old Town White Coffee. Teringat pengalaman bercakap-cakap dengan beliau tentang agama-agama termasuk Kristian dan Islam. Namun, kelemahan diri sendirilah yang tidak mampu memahamkannya tentang Islam.

     Sewaktu percutian saya di sana pada tahun tersebut, banyak tempat-tempat yang telah dilawati. Ada tempat-tempat yang nampak seolah-olah Islam itu ada seperti di Kundasang, masjid berada di atas bukit, dan ada sesetengah tempat yang terasa Islam itu tiada langsung dan dihiasi dengan gereja.

     Percutian saya kali ini boleh dikatakan percutian saya yang paling jauh dan percutian kali ini juga membuka minda saya dan menjadikan saya bermatlamat yang paling jauh. Percutian ini seolah-olah menarik saya untuk datang lagi ke Sabah selepas itu, tetapi bukan tujuan percutian tetapi tujuan dakwah. Bayu Sabah seolah-olah membisik ke telinga saya, "datanglah lagi ke sini, demi agamamu, demi Pencipta bayu.".

Jelajah Memerhati Dakwah di Sabah 2012

     Pada akhir tahun 2011 kalau tidak salah saya,  kawan-kawan telah ke Sabah untuk program baktisiswa di Ranau, Sabah atas nama Ma'ruf Club UIAM. Waktu ini adalah pada Hari Raya Qurban tahun tersebut. Pada waktu ini, saya sangat-sangat cemburu dengan mereka kerana berpeluang ke sana atas nama DAKWAH atau lebih tepatnya ISLAH kepada penduduk yang sudah Islam. Namun, apakan daya, nama saya tidak termasuk untuk bersama. Cemburu yang amat itu, masih segar dalam jiwa saya sehingga hari ini.

     Pada awal tahun 2012, seorang kawan yang pergi ke Sabah untuk program baktisiswa Ma'ruf Club UIAM yang juga berasal dari Sabah bertanya kepada saya sama ada saya ingin ke Sabah pada semester pendek 2011/2012 atau tidak untuk lanjutan daripada program yang lepas. Beliau mahu tolong saya carikan tiket yang murah. Tanpa berfikir panjang dan didorong oleh rasa cemburu yang belum terhapus, saya menyatakan kesanggupan dan disebabkan kesanggupan itu, pada semester ini saya hanya mengambil satu matapelajaran.

     Nak dijadikan cerita, jumlah kami yang akan pergi untuk program lanjutan ini  asalnya ialah 7 orang menjadi 2 sahaja. 5 orang yang membatalkan hasrat ini kerana peperiksaan dan sebagainya. Saya sendiri tidak mengetahui apa sebab sebenarnya. Jadi, yang akan pergi, saya dan seorang muslimah yang ajak saya pada awal tahun dulu. Segan yang amat usah dicerita. Belum pernah dalam hidup saya bermusafir berdua-duaan begini.

     Difikirkan balik, tiket sudah dibeli, kalau tak pergi membazir. Kalau tak pergi, program selepas ini yang akan dijalankan susah untuk dilaksanakan, kalau tak pergi, lagi tidak elok seorang muslimah yang saya anggap sebagai adik sendiri ni untuk bermusafir seorang diri. Apatah lagi tempatnya jauh. Difkirkan juga, di Sabah bukan kami berdua sahaja yang akan ke Ranau itu. Difikirkan juga, atas kapal terbang bukan ada dua manusia sahaja. Difikirkan juga 6 anak saudara, abang dan kakak menunggu di Sabah. Saya putuskan untuk meneruskan musafir ini.
     Perjalanan ini diniatkan untuk memerhati dakwah di Sabah dan bukannya untuk berdakwah.

Pada 17 Julai 2012, kami meminta seorang kawan menghantarkan kami ke stesen LRT Gombak, namun dimudahkan Allah, kawan yang menghantarkan tadi menyatakan kesanggupan untuk menghantarkan kami ke Terminal LCC atau LCCT. Syukur kepada Allah yang memudahkan perjalanan ini.

     Pukul 8.30 malam bermulalah gegaran kapal terbang KL-KK dan pada pukul 11.30 malam, sampailah kami di Kota Kinabalu (KK). Saya diambil oleh abang untuk pulan ke rumahnya dan muslimah tersebut diambil ayahnya -yang kebetulan pada waktu itu berkursus di KK- ke hotel.

     Keesokan harinya, awal-awal pagi lagi saya turun daripada rumah abang ke stesen bas ke Ranau di KK dihantar oleh abang. Kami akan ke Ranau bersama seorang ustaz yang biasa dengan dakwah di Sabah, Ustaz Zulfekar namanya.

     Dek kerana masalah kesesakan lalulintas di KK sekarang semakin memburuk, ustaz Zulfekar kelewatan sedikit. Lebih kurang pukul 8.30 barulah kami bertolak ke Ranau. Perjalanan kami bukanlah dengan unta ataupun kuda tetapi dengan "tanduk besar" ataupun Bighorn iaitu kereta pacuan empat roda Trooper. Melihat kereta tersebut, tahulah aku perjalanan hari tersebut akan jadi mencabar.

     Buka pintu kereta, sekejap perjalanan, dalam kekaguman kepada keramahan ustaz tersebut, surat khabar Harakah yang berada di atas dashboard kereta terjatuh di atas riba saya. Tahulah saya bahawa ustaz ini juga orang PAS. Dalam perjalanan ke Ranau, sempat berbual-bual dengan ustaz dan kagum sekali dengan akhlak ustaz dan pengalaman yang ustaz ceritakan. Ustaz Zulfekar kerja full-time nya ialah dakwah danpart-time nya ialah berniaga. Tujuan asal kami ialah Kg. Debut Langsat tapi ustaz mempelawa kami ke Kg Paus dahulu.

     Sebelum ke Kg Paus, kami singgah di pekan Ranau dahulu untuk makan tengah hari. Di situ kami bertemu Pak Cik Awiss, pengerusi surau di Kg Debut. Pertama kali kenal Pak Cik Awiss sudah saya tahu dia seorang yang baik. Awal-awal lagi Pak Cik Awiss membuat permintaan supaya kami bermalam selama 2 malam di kampung mereka kerana mereka ada majlis pada malam kedua kami di sana.

     Kami  meneruskan perjalanan ke Kg. Paus. Paus dalam bahasa dusun ialah pelanduk. Di kampung ini, penduduk Islamnya hanya empat keluarga. Seorang ustaz daripada Kelantan yang mengajar di sekolah rendah di situ yang memaklumkan tentang 4 keluarga tersebut kepada ustaz Zulfekar, Ustaz Luqman namanya.


     Ustaz Zulfekar melalui perjalanan lebih kurang dua jam ini semata-mata ingin berjumpa penduduk kampung tersebut yang beragama Islam dan untuk menyampaikan wang untuk pembinaan surau di situ. Masya Allah sungguh hebat ustaz ini. Perjalanan ke sini sangat mencabar, jalan tanpa tar dan berbatu. Namun ustaz Zulfekar memecut selaju 60km/jam. Kata Ustaz, untuk dakwah di Sabah, tak boleh sayang kereta.
     Tanpa disangka-sangka, penduduk di situ menghidangkan kami juadah makan tengah hari. Dengan kekenyangan, terpaksalah juga saya dan yang lain makan sedikit demi menjaga hati tuan rumah. Nasi beras bukit yang dihidangkan membuka selera saya.

Nasi Beras Bukit

     Setelah meninjau tanah tapak surau yang akan dibinakan, kami sempat bergambar dengan pak cik yang mewakafkan tanah tersebut seterusnya bergegas pulang kerana Pak Cik Awis menanti kami di Pekan Ranau.

Tapak Surau Kg Paus

     Perjalanan seterusnya ke Pekan Ranau.

Pekan Ranau

     Daripada Pekan Ranau ke Kg Debut, kami menaiki van atau bas mini yang dimiliki penduduk kampung tersebut. Dalam perjalanan, sempat berkenalan dengan Unai, penduduk kampung Lohan. Unai ialah remaja muslim lepasan STPM dan akan menyambung pelajaran di UUM. Pada mulanya, saya ingatkan Unai bukan muslim. Inilah kesukaran di Sabah, kesukaran membezakan yang muslim dan bukan muslim terutamanya yang lelaki yang tak dapat dibezakan dengan cara berpakaian, nama, dan rupa paras.

     Setelah melalui perjalanan yang mencabar, sampailah kami di Kg Debut. Jalan-jalan di Sabah merupakan salah satu cabaran dakwah di sini.

Antara jalan yang dilalui.
     Di Kg Debut kami disambut beberapa orang penduduk kampung. Mereka terkejut kerana hanya kami yang sampai ke sana dan bukan seperti yang sebelum ini. Tambahan pula, saya bukanlah termasuk yang pernah sampai ke sini.

     Di sini tidak banyak yang dapat kami lakukan. Pada malam pertama, setelah siap solat maghrib, Pak Cik Awiss meminta saya memberikan sedikit ceramah. Dengan penuh kekeluan, saya mencuba sedaya yang mungkin berkongsi sedikit-sebanyak. Setelah solat isyak, datang beberapa orang bertanyakan itu dan ini. Antara yang ditanya, bolehkah orang Islam memasuki gereja. Nasib baik soalan mudah-mudah, dapatlah jawab.

     Apa yang bagusnya di kampung ini, mereka sudah meninggalkan meminum arak dan memakan babi secara total. Namun, ada yang mengatakan masih memakan labi-labi dan bertanyakan apa hukum memakannya. Mereka juga sudah berjaya mencapai target mereka iaitu 1 rumah 1 graduan sehinggakan ada yang 1 rumah 5 graduan. Anak Pak Cik Awiss sendiri pun sudah ramai yang ke universini.

     Di sana, sempat juga lawan snuker dengan Pak Cik Awiss. Nasib baik menang. Tak tahulah kalau-kalau Pak Cik Awiss sengaja bagi saya menang. Di tempat main snuker tersebut ada satu papan ditulis larangan membawa masuk minuman keras. Larangan ini meninbulkan senyuman di muka saya.

     Keesokan harinya, sempat saya mengajak kanak-kanak di situ setelah mereka pulang daripada sekolah ke sungai sambil-sambil mendengar cerita mereka dan mengorek sedikit sebanyak maklumat tentang kefahaman mereka tentang Islam.

Jambatan gantung yang menggayatkan.

Adik-adik Kg Debut.
   
     Daripada pemerhatian yang dibuat, penduduk kampung ini boleh dikatakan sudah terkehadapan berbanding kampung lain yang dilawati.

     Pada malam itu diadakan majlis tahlil. Lepas satu, satu penduduk kampung yang datang. Setiap yang datang membawa satu bekas makanan. Terkejut aku dibuatnya. Penuh makanan di atas dua buah meja. Setelah solat Isyak dan Tahlil, makanlah kami semua. Sambil-sambil penduduk kampung makan, saya membahagikan beras fidyah yang ustaz Zulfekar amanahkan untuk diagihkan kepada setiap keluarga.

    Sejurus selepas habis beras diagihkan, tiba masanya menikmati juadah. Semua makanan saya cuba dan semuanya sedap-sedap. Daripada pemerhatian, boleh dikatakan semua penduduk kampung makan banyak-banyak. Ini kerana disebabkan mereka kuat bekerja. Cukuplah dengan apa yang dimakan dengan apa yang dikerjakan. Walaupun mereka makan banyak, namun tidak ada yang kegemukan dalam kalangan lelaki.

     Keesokan harinya, kami berpagi-pagi untuk ke Pekan Ranau seterusnya ke Keningau. Sempat pada pagi itu cuba mandi air bukit. Wah, sejuk sekali! Perjalanan kami ke Keningau di tangisi Umie (isteri Pak Cik Awiss) dan jiran-jirannya. Tidak sampai hati saya nak tinggalkan mereka. Tangisan mereka menanamkan cita dalam jiwa saya untuk datang lagi ke kampung tersebut. Perjalanan ke Keningau penuh kehibaan.

Selamat tinggal Pak Cik Awiss.

Pengalaman Dakwah di Sabah : Episod 2

السلام عليكم

Peace be upon you.
بسم الله الرحمن الرحيم
In the name of Allah ( God ), Most Gracious, Most Compassionate
الحمد لله ربّ العلمين

Praise be to Allah, the Cherisher and Sustainer of the worlds
الصلاة والسلام على رسول الله وعلى أصحابه أجمعين

     Sebelum ini, dalam episod 1, telah diceritakan pengalaman perjalanan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ke Kota Kinabalu, seterusnya ke Kg Paus dan Kg Debut di Ranau. Untuk kali ini saya akan ceritakan pula pengalaman di Kg Padang Iniruwanan, Mukim Sepulut, Keningau.

     Selepas dua hari dua malam di Kg Debut, pada hari ketiga, kami berpagi-pagian bertolak ke Pekan Ranau bertujuan untuk ke Keningau. Sebelum adik-adik angkat ke sekolah, sempat saya bersalam dengan mereka, kecuali dengan Uqi kerana Uqi pergi tanpa beritahu terlebih dahulu sewaktu saya sedang menikmati mandi air bukit.

    Setelah selesai bersiap-siap, datanglah kawan perempuan yang pergi bersama dengan ayah angkatnya menaiki van putih untuk membawa kami ke Pekan Ranau. Bertolak kami dengan kesedihan memerhatikan Umie dan jiran-jiran menangis.

      Sesampainya di Pekan Ranau, Pak Cik Awiss mengajak untuk minum-minum dulu sebelum bertolak sedangkan sebelum adik-adik ke sekolah tadi, kami sudah minum dan makan. Kekenyangan suda bha. =) Kawan saya yang perempuan itu berketurunan Dusun, tidak hairanlah dia masih mampu memakan kuih di kedai makan itu padahal saya fikir dia jua sudah sarapan di rumah tadi. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini dalam episod 1, orang Dusun, makannya memang banyak tetapi tubuhnya sentiasa slim.

     Perjalanan kami daripada Pekan Ranau ke Keningau seterusnya menaiki van putih juga tetapi yang lain. Sementara menunggu van dipenuhi penumpang, sempat saya pusing-pusing pekan dulu. Dibuai bayu bukit, memang kesejukan bagi orang yang kurus seperti saya. Di Pekan Ranau diperhatikan ramai juga yang bertudung, malah ada juga yang bertudung labuh. Mungkin yang bertudung labuh itu muslim yang lebih terdedah dengan pendidikan moden atau mungkin sahaja guru-guru j-QAF yang mengajar di sana. Namun, yang pastinya Ranau ialah satu daerah yang memang sudah dimasuki orang Islam sejak lama dahulu. Menurut cerita di Kg Debut, Islam telah sampai di situ sudah lebih 60 tahun. Tidak hairanlah di Ranau terdapat sebuah sekolah agama negeri yang menjadi tumpuan pelajar-pelajar daripada seluruh Sabah.

      Van putih hampir waktunya untuk bertolak, kami penupang-penumpang tertunggu-tunggu waktunya van itu bertolak dengan penuh kesabaran. Naik seorang lagi penumpang. Wanita muslimah bertudung labuh berwarna ungu. Berpurdah. Saya waktu itu di seat paling belakang, kawan saya di tengah. Duduk wanita tadi di sebelah kawan saya. Tidak lain tidak bukan saya fikir itu guru j-QAF daripada semenanjung lah sebab tidak pernah saya kenali orang Sabah yang berpurdah selain kawan saya itu. Seketika perjalanan, kawan saya SMS, beritahu tetang wanita itu. Katanya wanita itu saudara baru, orang Sabah. Kalau tidak salah kawan saya kata dia orang Kota Belut. Tak sangka, orang Sabah juga ada yang sehebat ini. Ini menunjukkan masa depan Islam di Sabah.

      Lama juga perjalanan dari Ranau ke Keningau ni rupanya, sehingga belikat punggung mula sakit-sakit, lenguh-lenguh. Saya ingatkan dekat sjak. Walaupun perjalanan itu dihiasi dengan lubang-lubang aspal(jalan raya tar), bukit-bukit, namun sempat juga saya terlelap-lelap.

     Sampai di Pekan Keningau, kakak saya belum lagi tiba. Baru keluar kelas katanya. Dia yang mengajar di Sekolah SK Bariawa Ulu bergegas ke tempat van tadi meninggalkan kami, namun perjalanan yang dekat daripada sekolahnya ke pekan mengambil masa yang lama kerana jalan kesesakan. Di Keningau dikatakan sering mengalami kesesakan lalu lintas kerana bertambahnya jumlah kereta di pekan itu. Tidak hairanlah jika pekan Keningau nampak jauh lebih maju daripada pekan Ranau.

    Sementara menunggu ayahnya dan kakak saya datang, kawan saya bertanya, "tahu muslimah bertudung labuh ungu berpurdah adi kerjanya apa?", dengan yakin saya menjawab, "mengajar.". Namun tekaan itu meleset jauh sekali. Rupa-rupanya di bekerja sebagai jururawat. Tanjat boboi!

      Hari itu hari Jumaat, sehari sebelum Ramadhan, kami hanya berehat di rumah masing-masing kerana rancangnya kami akan masuk kampung keesokan harinya. Namun, bukan rezeki kami, kami tidak dapat ke kampung tersebut, kalau tidak salah kampung Sinilahan. Bermakna, berakhir sudah program dakwah di Sabah. Sungguh kecewa saya pada waktu itu kerana lawatan ke kampung itu batal.

       Kehebatan takdir Allah, kawan saya dapat menghubungi seorang ustaz daripada Lumut, Perak yang sering berdakwah di Sabah bersama isterinya, Ustaz Mohd Fadli Yusof namanya. Diberitakan, ustaz ini sudah mengislamkan lebih 100 orang daripada pelbagai kaum di Sabah.  Saya terfikir, sungguh hebat kelebihan yang Allah berikan kepada ustaz ini dan isterinya.

     Pada waktu itu ustaz itu berada di Sabah, dan kebetulannya juga di satu kampung dalam daerah Keningau. Jadi, kami mengambil peluang ini untuk mengenali beliau. Pagi Sabtu itu, hari pertama berpuasa, saya meminta izin kakak untuk meminjam kereta Alza nya untuk ke Pekan Sook, berhampiran rumah kawan saya dan seterusnya ke kampung tempat ustaz itu berada. Kakak saya agak keberatan kerana maklum sahajalah jalan di Sabah memang merbahaya. Tambahan pula, orang-orangnya juga merbahaya. Ada cerita-cerita yang tidak elok terjadi kepada orang yang memandu keseorangan dan sebagainya.

     Inilah cabaran-cabaran yang biasa dilalui pendakwah. Anak, isteri, keluarga, harta sering sahaja menyayanyi kita dan ingin kita menyayangi mereka.

     Setelah dipujuk-pujuk, kakak saya akhirnya membenarkan saya pergi. Perjalanan daripada Pekan Keningau ke Pekan Sook sepanjang 45km. Kalau di Semenanjung Malaysia, perjalanan itu hanya mengambil masa lebih kurang selama 30minit sahaja dengan pemanduan biasa 90km/j. Namun, abang ipar memberitahu saya perjalanan ini paling kurang mengambil masa selama 40 minit.

  Perjalanan bermula, jalan Keningau-Sook nampaknya masih baru dan agak selesa. Walaupun bengkang-bengkok dan naik bukit turun bukit namun jalannya tidak berlubang-lubang seperti jalan Ranau-Sadakan. Walaupun pertama kali memandu sendirian di Sabah, masa maling kurang iaitu selama 40 minit dapat saya capai dengan Alza putih itu.

      Dari Pekan Sook ke rumah kawan saya, seketika melalui jalan tak berturap. jiwa membisik, "habislah kereta kakak aku ni.". Masa tidak banyak dihabisan di rumahnya, sekejap sahaja di situ, kami terus bertolak ke suatu tempat yang tidak saya ketahui tempatnya. Hanya menurut apa yang tuan rumah katankan. Perjalanan kami ditemani Khairuddin, sepupu kawan saya yang sedang belajar STPM di SMK Keningau, Ikhwan dan Arif, adik kawan saya.

     Dikatakan, kami akan ke Nubawan. Sebelum sampai ke aspal kami melalui jalan tidak berturap untuk beberapa ketika. Walaupun jaraknya pendek, namun masa yang diambil agak ama kerana pemanduan yang sangat perlahan. Sampai di jalan aspal, kelihatan papan tanda Nubawan 45km. Wah, kusangkakan dekat, rupanya jauh! =) Perjalanan diteruskan dengan bualan ringkas. Dipecutnya Alza 90-120km/j. Akhirnya sampailah di suatu tempat dinamakan Kg Padang Iniruwanan, Mukim Sepulut. Kereta tidak dapat masuk ke sana kerana kampung itu dipisahkan dengan sungai daripada jalan raya.

GAMBAR-GAMBAR JALAN MENUJU KG PADANG INIRUWANAN.
Jalan bengkang-bengkok.


Jalan lurus.


Jalan tanah dan berbukit.


Jalan berbatu rata.


Jambatan kecil.


Kg. Padang.


Jambatan gantung yang teramat-amatlah panjangnya.

     Sampai di Kg Padang, terkejut melihat jambatan gantung yang panjang sangat. Kata Ustaz Fadli yang banyak keluar masuk kampung di Sabah, ini boleh dikatakan jambatan gantung terpanjang yang ada di Sabah. Lebih panjang daripada yang ada di Tamparuli. Suasana kampungnya, segar sekali. Inilah tempat yang sering dibayangkan. Inilah tempat yang sering diimpikan.

     Berjumpa dengan Ustaz Fadli di sini, banyak sangat yang diceritakannya dan itu memberi semangat kepadaku untuk berdakwah. Ustaz Fadli dan isterinya kerap ke Sabah. Kehidupannya 10 hari di semenanjung, 10 hari di Sabah. Pada mulanya saya ingatkan ustaz Fadli ialah orang Sabah, namun setelah ustaz beritahu bahawa dia berulang-alik datang ke sini, bertambah kekaguman saya kepada beliau. Bersama teman setia di sisi, ustaz tersenyum sahaja dalam kepenatannya. Saya terfikir, inilah pentingnya seorang isteri, seorang isteri yang faham tentang dakwah Islamiah. Untuk saya menjadi pendakwah, tidak dapat tidak, jika saya ingi berkahwin, isteri saya perlulah yang memahami tugas dakwah dan sudah sedia tertarbiah. Jika tidak, masa perlu digunakan sedikit untuk mentarbiah, sedangkan masa sentiasa berlalu laju.

     Antara soalan yang sempat dilontarkan kepada Ustaz ialah tentang di mana ustaz mendapat pendidikan. Ustaz menjawab, "Al-Arqam.". Akal saya terus terlintas soalan anak muda yang seusia saya di rumah Pak Cik Awiss tentang Al-Arqam. Saya katakan, Al-Arqam ni ada baiknya ada kurangya, yang baik kita ambil dan yang terbukti salah kita tolak. Daripada persoalan anak muda ini, tahulah saya rupa-rupanya yang banyak melakukan dakwah ialah orang-orang daripada Al-Arqam. Jiwa sedikit cemburu kerana orang di sini mengetahui bahawa Al-Arqam banyak melakukan dakwah di sini tetapi orang tidak mengetahui PAS juga ada berdakwah seperti Ustaz Zulfekar yang diceritakan sebelum ini. Perasaan itu saya terus lempar jauh-jauh, semuanya saudara saya.

      Dalam rancak berbual, tetiba ustaz mengeluarkan kata-kata ajaib minta kami berbuka puasa di situ. Sudah! Dah janji dengan kakak sebelum pergi untuk berbuka sekali. Namun, kata-kata itu memang ajaib. Didesak pula oleh kawan saya supaya memujuk kakak. Akhirnya, perancangan mahu balik selepas asar ditangguh kepada selepas maghrib. Desakan itu memberi lebih banyak pengalaman kepada saya.

      Selepas Zuhur, sempat memerhatikan ustaz mengulang shahadah adik Nuratikah bt Rimin yang memeluk Islam April lalu. Nuratikah memeluk Islam selepas ibunya. Kata Ustaz Fadli, kami hanya mencuba mengisi borang dan menghantarkan ke Jabatan Islam Sabah. Namun, selalunya, hampa. Mereka hanya membiarkan sahaja borang-borang yang kami hantar, katanya. Kami berkunjung ke rumah Pak Cik Rimin untuk mendapatkan cop jarinya untuk pengislaman Nuratikah. Pak Cik Rimin belum memeluk Islam. Katanya dia berminat, tapi belum bersedia. Pak Cik Rimin sewaktu kami berbual sempat bertanya tentang tapak masjid yang dirancang untuk dibina masjid di situ. Dia menawarkan diri untuk menjaga tapak itu dan memesin rumput di situ. Terbayang, mungkin beginilah Abu Talib yang melindungi Rasulullah walaupun dia bukan Islam. Semoga Allah memberikan hidayah kepada Pak Cik Rimin dan meringankan azab Abu Talib.
Pak Cik Rimin dan Nuratikah

      Sebelum aktiviti masak-memasak, semat menemankan ustaz Fadli keluar membeli barang-barang untuk dimasak.
Kena ada kenderaan macam ni kalau nak tinggal di Sabah. Baru seronok.


     Setelah solat asar, bermulalah aktiviti masak-memasak untuk berbuka puasa. Buka puasa hari pertama kali ini memang benar-benar pengalaman pertama kali. Sungguh indah saya bayangkan. Dalam sibuk-sibuk memasak, ternampak dua kelibat remaja perempuan yang berstokin berwajah putih dan bersih. Wah, hebat ni! Di kampung ini masih ada yang bukan Islam dan yang sudah Islam pun masih ramai yang belum betul-betul mengenal Islam. Jiwa tertanya-tanya daripada mana datangnya dua musliah yang bertudung labuh dan berstokin ini. Nak ditanyakan kepada kawan muslimah ni, nanti dikatanya gatal pula. Hilang siqah sheikh! =) Namun, perasaan ingin tahu itu melebihi su' dzon kepada kawan sendiri menyebabkan saya bertanya juga. Rupa-rupanya seorang antara dua itu cucu tuan rumah yang saya singgah tersebut dan yang lagi seorang kawannya daripada kampung sebelah yang belajar di satu sekolah berdekatan. Mungkin guru disekolah tersebut yang mendidik mereka.

Chef Saifullah dan Tabib Muda Saiful Bahri



     Pengalaman hebat di kampung tersebut berakhir dengan juadah makanan selepas solat maghrib. Sebelu maghrib hanya berbuka dengan kurma dan air. Seronok di sini menjadikan saya tidak mahu pulang. Selepas makan, kami bergegas pulang kerana sudah berjanji dengan kakak dan emak mahu pulang selepas maghrib. Ketika ini terfikir, rupa-rupanya adik-beradik dan emak masih menganggap saya seperti kanak-kanak dan tidak mampu berdikari. Patutlah bila bergurau dengan mak cakap nak kahwin, respon negetif diberikan. Inilah nasib jika anda adalah anak bungsu.

      Perjalanan pulang ditempuh dengan penuh kelajuan. Singgah hantar kawan muslimah di Sook, diteruskan ke Keningau ditemani Khairuddin.

_________________________________________________________________________________

Dakwah dan Kesyumulannya

Islam adalah cara hidup. Sekali kita mengaku Islam, makan Islam itu perlu diperjuangkan, bukan sekadar amalan seperti solat puasa haji sahaja. Islam perlu disebarkan. Man Qala La Ilaha Illa Allah, Fahua Daie. Sesiapa yang mengatakan tiada tuhan selain Allah, maka dia adalah penjemput kepada Allah, pendakwah.

Dalam dakwah, tiada pilih bulu. Ada yang memperkecilkan dakwah kepada Orang Asli, katanya Orang Asli tidak intelligent menjadikan dakwah lambat tersebar dan memperbesarkan dakwah melalui dialog-dialog dengan orang agama yang cerdik pandai sahaja. Sedangkan Orang Asli itu lebih rendah hati berbanding orang cerdik pandai. Ada yang melebihkan dakwah kepada Orang Asli dan pedalaman sehingga hujah-hujah tidak ada jika berhadapan dengan golongan cerdik pandai. Ada yang berdakah hanya kepada ibadah, menutup aurah, iaitu ISLAH sebenarnya. Ada yang berdakwah untuk menarik orang ke partinya. Dakwah sebenar ialah dakwah pada setiap tempat keberadaan kita. Semua golongan sepatutnya mampu setiap muslim dekati dan inilah dakwah Rasulullah. Datang si Badwi di ajarnya si Badwi, datang si pembesar didakwahnya si pembesar, didekatinya sang raja, dibunuhnya kaum kerabat sediri yang melawan Islam, berdamai dia dengan yang mahukan pendamaian, dikunyahnya makanan untuk disuapkan kepada wanita Yahudi, diketuknya pintu rumah Ali dan Fatimah mengajak sujud kepada Allah pada waktu malam, disuruhnya wanita muslimah menutup seluruh badan. Nah, lengkap bukan?

PAS Pilihanku

Wasilah saya dalam memperjuangkan Islam adalah PAS. Kerana PAS itu jemaah yang menghampiri kesyumulan. Pas tidak seperti yang lain. Dakwah kepada Orang Asli PAS lakukan, dialog dengan cerdik pandai PAS lakukan, dakwah melalui POLITIK juga PAS laksanakan, hubungan dengan jemaah Islam jua tidak ditinggalkan. Isu dunia PAS cakna, isu negara PAS teliti. Inilah jemaah. Orang-orang didalamnya saling melengkapi antara satu sama lain. Jika bersendirian, mana mungkin semua benda ranting-ranting Islam tercakup.

Dakwah dan Cabaran

Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta. [Surah Attaubah : 42]


Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka belum diuji? [Surah Al-Ankabut : 2]

Jika kita ingin mengetahui sama ada kita sedang berada di jalan dakwah dan perjuangan Islam yang betul atau tidak, perhatikan perjuangan itu, adakah mudah ataupun susah. Jika mudah dan tiada halangan, itu tandanya perjuangan kita bukanlah perjuangan yang sebenar. Perjuangan yang sebenar tidak dapat tidak akan penuh dengan cabaran, ujian, halangan dan sebagainya.


original link