Pengalaman Dakwah di Sabah : Episod 1

السلام عليكم
Peace be upon you.
بسم الله الرحمن الرحيم
In the name of Allah ( God ), Most Gracious, Most Compassionate
الحمد لله ربّ العلمين
Praise be to Allah, the Cherisher and Sustainer of the worlds
الصلاة والسلام على رسول الله وعلى أصحابه أجمعين

Percutian di Sabah Tahun 2011

     Pada semester pendek yang lepas, saya sempat bercuti di Sabah Negeri di Bawah Bayu kerana saya tidak mengikuti pembelajaran pada semester tersebut. Pada kedatangan pertama kali itu, perasaan gembira tidak dapat dinafikan kerana Sabah ialah negeri yang sangat cantik dan masih dipenuhi hutan-hutan yang segar serta laut dan sungai yang masih bersih.

     Namun setelah berjalan-jalan di banyak tempat di sana, perasaan bertukar-tukar. Gembira, sedih, takut, bersalah dan bermacam-macam lagi. Rasa sedih dan bersalah kerana umat Islam di sini masih lemah dari segi bilangan dan pengamalan Islam dan dalam masa yang sama diri sendiri juga masih kurang ketaatan kepada Allah dan tidak mampu berbuat apa-apa terhadap keadaan tersebut. Perasaan takut pula timbul apabila melalui perjalanan yang dihiasi gereja yang sangat banyak. Boleh dikatakan hampir setiap setengah jam, satu gereja kelihatan. Di sesetengah tempat, ada terdapat dua gereja berhampiran satu dengan yang lain.

     Melihat gereja-gereja yang banyak, terlintas di fikiran seorang kawan perempuan beragama Kristian daripada Sabah yang pernah bekerja sekali suatu masa dahulu di Kopitian Old Town White Coffee. Teringat pengalaman bercakap-cakap dengan beliau tentang agama-agama termasuk Kristian dan Islam. Namun, kelemahan diri sendirilah yang tidak mampu memahamkannya tentang Islam.

     Sewaktu percutian saya di sana pada tahun tersebut, banyak tempat-tempat yang telah dilawati. Ada tempat-tempat yang nampak seolah-olah Islam itu ada seperti di Kundasang, masjid berada di atas bukit, dan ada sesetengah tempat yang terasa Islam itu tiada langsung dan dihiasi dengan gereja.

     Percutian saya kali ini boleh dikatakan percutian saya yang paling jauh dan percutian kali ini juga membuka minda saya dan menjadikan saya bermatlamat yang paling jauh. Percutian ini seolah-olah menarik saya untuk datang lagi ke Sabah selepas itu, tetapi bukan tujuan percutian tetapi tujuan dakwah. Bayu Sabah seolah-olah membisik ke telinga saya, "datanglah lagi ke sini, demi agamamu, demi Pencipta bayu.".

Jelajah Memerhati Dakwah di Sabah 2012

     Pada akhir tahun 2011 kalau tidak salah saya,  kawan-kawan telah ke Sabah untuk program baktisiswa di Ranau, Sabah atas nama Ma'ruf Club UIAM. Waktu ini adalah pada Hari Raya Qurban tahun tersebut. Pada waktu ini, saya sangat-sangat cemburu dengan mereka kerana berpeluang ke sana atas nama DAKWAH atau lebih tepatnya ISLAH kepada penduduk yang sudah Islam. Namun, apakan daya, nama saya tidak termasuk untuk bersama. Cemburu yang amat itu, masih segar dalam jiwa saya sehingga hari ini.

     Pada awal tahun 2012, seorang kawan yang pergi ke Sabah untuk program baktisiswa Ma'ruf Club UIAM yang juga berasal dari Sabah bertanya kepada saya sama ada saya ingin ke Sabah pada semester pendek 2011/2012 atau tidak untuk lanjutan daripada program yang lepas. Beliau mahu tolong saya carikan tiket yang murah. Tanpa berfikir panjang dan didorong oleh rasa cemburu yang belum terhapus, saya menyatakan kesanggupan dan disebabkan kesanggupan itu, pada semester ini saya hanya mengambil satu matapelajaran.

     Nak dijadikan cerita, jumlah kami yang akan pergi untuk program lanjutan ini  asalnya ialah 7 orang menjadi 2 sahaja. 5 orang yang membatalkan hasrat ini kerana peperiksaan dan sebagainya. Saya sendiri tidak mengetahui apa sebab sebenarnya. Jadi, yang akan pergi, saya dan seorang muslimah yang ajak saya pada awal tahun dulu. Segan yang amat usah dicerita. Belum pernah dalam hidup saya bermusafir berdua-duaan begini.

     Difikirkan balik, tiket sudah dibeli, kalau tak pergi membazir. Kalau tak pergi, program selepas ini yang akan dijalankan susah untuk dilaksanakan, kalau tak pergi, lagi tidak elok seorang muslimah yang saya anggap sebagai adik sendiri ni untuk bermusafir seorang diri. Apatah lagi tempatnya jauh. Difkirkan juga, di Sabah bukan kami berdua sahaja yang akan ke Ranau itu. Difikirkan juga, atas kapal terbang bukan ada dua manusia sahaja. Difikirkan juga 6 anak saudara, abang dan kakak menunggu di Sabah. Saya putuskan untuk meneruskan musafir ini.
     Perjalanan ini diniatkan untuk memerhati dakwah di Sabah dan bukannya untuk berdakwah.

Pada 17 Julai 2012, kami meminta seorang kawan menghantarkan kami ke stesen LRT Gombak, namun dimudahkan Allah, kawan yang menghantarkan tadi menyatakan kesanggupan untuk menghantarkan kami ke Terminal LCC atau LCCT. Syukur kepada Allah yang memudahkan perjalanan ini.

     Pukul 8.30 malam bermulalah gegaran kapal terbang KL-KK dan pada pukul 11.30 malam, sampailah kami di Kota Kinabalu (KK). Saya diambil oleh abang untuk pulan ke rumahnya dan muslimah tersebut diambil ayahnya -yang kebetulan pada waktu itu berkursus di KK- ke hotel.

     Keesokan harinya, awal-awal pagi lagi saya turun daripada rumah abang ke stesen bas ke Ranau di KK dihantar oleh abang. Kami akan ke Ranau bersama seorang ustaz yang biasa dengan dakwah di Sabah, Ustaz Zulfekar namanya.

     Dek kerana masalah kesesakan lalulintas di KK sekarang semakin memburuk, ustaz Zulfekar kelewatan sedikit. Lebih kurang pukul 8.30 barulah kami bertolak ke Ranau. Perjalanan kami bukanlah dengan unta ataupun kuda tetapi dengan "tanduk besar" ataupun Bighorn iaitu kereta pacuan empat roda Trooper. Melihat kereta tersebut, tahulah aku perjalanan hari tersebut akan jadi mencabar.

     Buka pintu kereta, sekejap perjalanan, dalam kekaguman kepada keramahan ustaz tersebut, surat khabar Harakah yang berada di atas dashboard kereta terjatuh di atas riba saya. Tahulah saya bahawa ustaz ini juga orang PAS. Dalam perjalanan ke Ranau, sempat berbual-bual dengan ustaz dan kagum sekali dengan akhlak ustaz dan pengalaman yang ustaz ceritakan. Ustaz Zulfekar kerja full-time nya ialah dakwah danpart-time nya ialah berniaga. Tujuan asal kami ialah Kg. Debut Langsat tapi ustaz mempelawa kami ke Kg Paus dahulu.

     Sebelum ke Kg Paus, kami singgah di pekan Ranau dahulu untuk makan tengah hari. Di situ kami bertemu Pak Cik Awiss, pengerusi surau di Kg Debut. Pertama kali kenal Pak Cik Awiss sudah saya tahu dia seorang yang baik. Awal-awal lagi Pak Cik Awiss membuat permintaan supaya kami bermalam selama 2 malam di kampung mereka kerana mereka ada majlis pada malam kedua kami di sana.

     Kami  meneruskan perjalanan ke Kg. Paus. Paus dalam bahasa dusun ialah pelanduk. Di kampung ini, penduduk Islamnya hanya empat keluarga. Seorang ustaz daripada Kelantan yang mengajar di sekolah rendah di situ yang memaklumkan tentang 4 keluarga tersebut kepada ustaz Zulfekar, Ustaz Luqman namanya.


     Ustaz Zulfekar melalui perjalanan lebih kurang dua jam ini semata-mata ingin berjumpa penduduk kampung tersebut yang beragama Islam dan untuk menyampaikan wang untuk pembinaan surau di situ. Masya Allah sungguh hebat ustaz ini. Perjalanan ke sini sangat mencabar, jalan tanpa tar dan berbatu. Namun ustaz Zulfekar memecut selaju 60km/jam. Kata Ustaz, untuk dakwah di Sabah, tak boleh sayang kereta.
     Tanpa disangka-sangka, penduduk di situ menghidangkan kami juadah makan tengah hari. Dengan kekenyangan, terpaksalah juga saya dan yang lain makan sedikit demi menjaga hati tuan rumah. Nasi beras bukit yang dihidangkan membuka selera saya.

Nasi Beras Bukit

     Setelah meninjau tanah tapak surau yang akan dibinakan, kami sempat bergambar dengan pak cik yang mewakafkan tanah tersebut seterusnya bergegas pulang kerana Pak Cik Awis menanti kami di Pekan Ranau.

Tapak Surau Kg Paus

     Perjalanan seterusnya ke Pekan Ranau.

Pekan Ranau

     Daripada Pekan Ranau ke Kg Debut, kami menaiki van atau bas mini yang dimiliki penduduk kampung tersebut. Dalam perjalanan, sempat berkenalan dengan Unai, penduduk kampung Lohan. Unai ialah remaja muslim lepasan STPM dan akan menyambung pelajaran di UUM. Pada mulanya, saya ingatkan Unai bukan muslim. Inilah kesukaran di Sabah, kesukaran membezakan yang muslim dan bukan muslim terutamanya yang lelaki yang tak dapat dibezakan dengan cara berpakaian, nama, dan rupa paras.

     Setelah melalui perjalanan yang mencabar, sampailah kami di Kg Debut. Jalan-jalan di Sabah merupakan salah satu cabaran dakwah di sini.

Antara jalan yang dilalui.
     Di Kg Debut kami disambut beberapa orang penduduk kampung. Mereka terkejut kerana hanya kami yang sampai ke sana dan bukan seperti yang sebelum ini. Tambahan pula, saya bukanlah termasuk yang pernah sampai ke sini.

     Di sini tidak banyak yang dapat kami lakukan. Pada malam pertama, setelah siap solat maghrib, Pak Cik Awiss meminta saya memberikan sedikit ceramah. Dengan penuh kekeluan, saya mencuba sedaya yang mungkin berkongsi sedikit-sebanyak. Setelah solat isyak, datang beberapa orang bertanyakan itu dan ini. Antara yang ditanya, bolehkah orang Islam memasuki gereja. Nasib baik soalan mudah-mudah, dapatlah jawab.

     Apa yang bagusnya di kampung ini, mereka sudah meninggalkan meminum arak dan memakan babi secara total. Namun, ada yang mengatakan masih memakan labi-labi dan bertanyakan apa hukum memakannya. Mereka juga sudah berjaya mencapai target mereka iaitu 1 rumah 1 graduan sehinggakan ada yang 1 rumah 5 graduan. Anak Pak Cik Awiss sendiri pun sudah ramai yang ke universini.

     Di sana, sempat juga lawan snuker dengan Pak Cik Awiss. Nasib baik menang. Tak tahulah kalau-kalau Pak Cik Awiss sengaja bagi saya menang. Di tempat main snuker tersebut ada satu papan ditulis larangan membawa masuk minuman keras. Larangan ini meninbulkan senyuman di muka saya.

     Keesokan harinya, sempat saya mengajak kanak-kanak di situ setelah mereka pulang daripada sekolah ke sungai sambil-sambil mendengar cerita mereka dan mengorek sedikit sebanyak maklumat tentang kefahaman mereka tentang Islam.

Jambatan gantung yang menggayatkan.

Adik-adik Kg Debut.
   
     Daripada pemerhatian yang dibuat, penduduk kampung ini boleh dikatakan sudah terkehadapan berbanding kampung lain yang dilawati.

     Pada malam itu diadakan majlis tahlil. Lepas satu, satu penduduk kampung yang datang. Setiap yang datang membawa satu bekas makanan. Terkejut aku dibuatnya. Penuh makanan di atas dua buah meja. Setelah solat Isyak dan Tahlil, makanlah kami semua. Sambil-sambil penduduk kampung makan, saya membahagikan beras fidyah yang ustaz Zulfekar amanahkan untuk diagihkan kepada setiap keluarga.

    Sejurus selepas habis beras diagihkan, tiba masanya menikmati juadah. Semua makanan saya cuba dan semuanya sedap-sedap. Daripada pemerhatian, boleh dikatakan semua penduduk kampung makan banyak-banyak. Ini kerana disebabkan mereka kuat bekerja. Cukuplah dengan apa yang dimakan dengan apa yang dikerjakan. Walaupun mereka makan banyak, namun tidak ada yang kegemukan dalam kalangan lelaki.

     Keesokan harinya, kami berpagi-pagi untuk ke Pekan Ranau seterusnya ke Keningau. Sempat pada pagi itu cuba mandi air bukit. Wah, sejuk sekali! Perjalanan kami ke Keningau di tangisi Umie (isteri Pak Cik Awiss) dan jiran-jirannya. Tidak sampai hati saya nak tinggalkan mereka. Tangisan mereka menanamkan cita dalam jiwa saya untuk datang lagi ke kampung tersebut. Perjalanan ke Keningau penuh kehibaan.

Selamat tinggal Pak Cik Awiss.
Comments
0 Comments