Peranan Ibubapa dan Anggota Masyarakat Dalam Menangani Gejala Murtad-Ust Farhan Abdullah

MINDA AL-FURQAN: Peranan Ibubapa dan Anggota Masyarakat Dalam Menangani Gejala Murtad
 - posted on 24 Oktober, 2009.
  
   Program Minda al-Furqan bersambung lagi pada malam minggu (17 Okt 2009) yang lepas di celah-celah sambutan AidulFitri dan rumah terbuka. Penceramah jemputan kali ini adalah seorang bekas mubaligh Kristian iaitu Ustaz Hj Mohd Farhan yang berasal dari Sabah. Tajuk perbincangan yang dibentangkan adalah “Peranan Ibubapa dan Anggota Masyarakat Dalam Menangani Gejala Murtad”.
   Berbekalkan pengalaman peribadi beliau yang mengharungi zaman awal remaja sebagai seorang yang telah dilatih untuk menjadi mubaligh Kristian, beliau telah berkongsi kisah bagaimana usaha beliau pada awal keislaman terutama untuk berhadapan dengan seorang ayah yang hampir membunuhnya di atas tindakan beliau meninggalkan agama asalnya. Beliau telah merantau ke Semenanjung Malaysia dan terus berazam untuk berdakwah kepada keluarganya terutama kepada ayahnya. Ibunya adalah yang pertama memeluk Islam, diikuti oleh adik-beradik perempuannya. Sebagai anak tunggal lelaki dalam keluarga, faktor ini sedikit sebanyak membantu mempengaruhi keluarganya.
   Sepanjang ceramah yang disampaikan oleh beliau, beliau banyak menyentuh tentang usaha-usaha dakwah kepada masyarakat di Sabah dan Sarawak. Di samping itu, beliau juga ada menyentuh tentang gejala akhlak yang mempengaruhi golongan muda remaja yang sungguh ketara terutama sewaktu program sambutan seperti Hari Kemerdekaan dan Tahun Baru. Di dalam satu operasi yang sempat dirakam sekitar bandaraya Kuala Lumpur, sekumpulan remaja yand melepak dan berpeleseran sehingga awal pagi telah dapat dipujuk untuk diberi kaunseling.
   Menyentuh tajuk perbincangan mengenai peranan ibubapa dan masyarakat, beliau menekankan peranan dakwah yang semestinya bermula dari rumah. Bapa sebagai ketua keluarga mesti menjadi contoh kepada isteri dan anak-anak.  Peranan utama bapa adalah termasuk berdakwah kepada ahli keluarga. Sebagai contohnya adalah amalan solat bersama keluarga. Amalan qiamullail bersama isteri adalah salah satu kaedah yang sangat berkesan menjaga keharmonian rumahtangga. Peranan ibubapa perlu dalam memastikan solat sentiasa dijaga. Di antara punca kepada gejala sosial di kalangan anak muda dan remaja adalah apabila agama tidak dipegang atau dipegang secara longgar.
   Menyentuh peranan guru-guru di sekolah, beliau menyarankan agar mereka  menyelitkan unsur-unsur Islam di dalam penyampaian mata pelajaran. Guru bukanlah semata-mata bekerja makan gaji tetapi adalah sebahagian dari unit yang menjadi pendidik masyarakat. Selain dari guru, pihak-pihak lain seperti institusi surau dan masjid, persatuan penduduk, dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat perlu memberi sumbangan ke arah dakwah. Program-program yang boleh menarik penyertaan golongan sasaran ini perlu dijadikan wadah dalam usaha dakwah.
Comments
0 Comments